Konflik
etnik merupakan cemuhan terhadap peradaban manusia. Kurniaan Tuhan supaya
setiap kaum berbangga dengan keunikan fizikal masing-masing telah dijadikan
punca perbalahan antara kaum. Sungguhpun konflik etnik telah pun wujud sejak
awal kewujudan manusia, namun ia masih berlarutan sehingga hari ini. Pada hari
ini, konflik etnik tetap wujud di setiap pelusuk dunia.
Ternyata,
konflik yang berpunca dari ketidakadilan dan
rasa tidak puas hati antara manusia disebabkan oleh perbezaan warna
kulit dan budaya yang masih ketara. Konflik yang berlaku di negara-negara bekas
Persekutuan Soviet, Eropah Timur, negara-negara Balkan, Palestin, negara Afrika
seperti Rwanda, juga di negara maju seperti Amerika Syarikat dan baru-baru ini
di negara jiran kita Indonesia telah membuktikan kepada manusia sejagat bahawa
ketegangan suku kaum telah membawa kepada keganasan dan konfrontasi.
Etnik
(ethnic) merujuk kepada golongan yang berkongsi budaya yang diwarisi (Macionis,
1998:215). Golongan dari etnik yang sama akan mempunyai kesamaan dari segi
asal-usul, bahasa dan agama. Sebagai contoh, di bekas negara Yugoslavia, etnik
Serb, Croatia dan Bosnia secara fizikalnya adalah sama (sama ras) tetapi mereka
berbeza dari segi budaya, bahasa dan agama. Pada dasarnya ras dan etnik adalah
hampir sama dari segi pengertian dan bagi mengelakkan kekeliruan, konsep
“kelompok etnik” digunakan bagi merujuk kepada golongan-golongan yang berbeza
dari segi kebudayaan, kepercayaan, adat resam, bahasa, agama dan sebagainya.
Konflik
etnik ini mempunyai tiga konsepnya. Tiga konsep penting yang ditumpukan ialah
masyarakat, budaya dan perpaduan. Masyarakat- menurut Roucek dan Warren ( 1979
), masyarakat sebagai satu kumpulan manusia yang berhubung secara tetap dan
tersusun dalam menjalankan aktiviti secara kolektif dan merasakan bahawa mereka
adalah hidup bersama. Terdapat perhubungan terus menerus dikalangan mereka yang
masih hidup dan kekal selama berabad-abad. Satu kumpulan dan kelompok manusia
yang hidup saling berorganisasi, berbincang, bekerjasama dalam mengatur kerja
secara kolektif, mampu menyatukan buah fikiran dan tindakan sehingga terjalin
hubungan antara satu sama lain serta lahir satu sistem yang dinamakan sebagai
kebudayaan. Ciri-ciri utama masyarakat ialah berkelompok, berbudaya, mengalami
perubahan, berinteraksi secara dalaman dan dengan pihak luar, mempunyai
kepimpinan serta mempunyai aturan sosialnya mengikut susun lapis, kelas, status
dan kasta.
Konsep
Etnik juga adalah satu kelomok yang boleh dikaji hubungan persaudaraan mereka
melalui nenek moyang yang sama. Etnik boleh didefinasikan sebagai sekelompok
manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam,
pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi.
Faktor-Faktor Konflik Etnik
Terdapat beberapa faktor
yang menyebabkan atau membawa kepada berlakunya konflik etnik, faktor-faktor
konflik ini tidak sama dari satu negara dengan negara lain. Terdapat beberapa
faktor yang utama yang mendorong kepada berlakunya masalah etnik.
Perebutan kuasa di antara
kelompok-kelompok atau kumpulan etnik. Dari aspek politik dan ekonomi,
perubahan politik dan perkembangan ekonomi yang mencetuskan banyak peluang baru
yang menguntungkan telah memperhebatkan lagi persaingan di antara
kumpulan-kumpulan masyarakat. Setiap kelompok atau kumpulan akan berusaha untuk
mendapatkan sokongan padu daripada kumpulan masing-masing untuk memastikan
kejayaan dan keberkesanan persaingan itu. Keadaan ini boleh mewujudkan konflik
kerana terdapat penonjolan berbagai-bagai isu perkauman yang diutarakan untuk
memenangi persaingan. Apabila pilihanraya diadakan sudah tentu masyarakat
majoriti akan mengalahkan masyarakat minoriti. Apabila ini berlaku sudah
tentulah wujudnya penindasan. Ini boleh menyebabkan atau mendorong kepada
berlakunya perasaan tidak puashati dan mungkin boleh menyebabkan ketegangan di
kalangan masyarakat atau kelompok-kelompok.Apabila kestabilan ekonomi tergugat,
maka masalah atau konflik akan bertambah hebat.
Diskriminasi dan
prasangka atas dasar warna kulit nyata merupakan faktor yang utama pendorong
berlakunya konflik etnik dan ras. Terdapat sesetengah masyarakat negara-negara
tertentu masih menilai kemampuan seseorang mengikut kaum, etnik dan kelas
sosial. Ada kaum-kaum tertentu diletakkan pada status yang lebih tinggi
berbanding kaum lain. Hak kaum lain yang status lebih rendah dalam soal
pembahagian kawasan perumahan, peluang pelajaran dan pekerjaan masih
dipertikaikan. Permodenan dan pembangunan ekonomi secara dasarnya tidak
memanafaatkan kaum yang berstatus rendah ini.
Seterusnya, layanan atau
pandangan yang berbeza-beza diberikan oleh individu atau kelompok terhadap
individu atau kelompok yang lain. Konflik akan hanya wujud apabila mereka
memandang dan menganggap bahawa perbezaan ras, kebudayaan, agama, kelas sosial
atau lain-lain lagi sebagai sesuatu yang boleh membezakan taraf, kedudukan dan
sebagainya. Ini terletak pada pandangan mereka sendiri. Ia juga boleh disebut
sebagai diskriminasi. Andainya wujud hak kesamarataan atau beranggapan bahawa
semua ahli masyarakat adalah sama maka tidak akan wujud konflik . Ini dapat
dilihat dari perspektif “transcendentalisme” di mana sifat murni diri perlu
wujud agar terhindar konflik etnik.
Penubuhan organisasi
demikian bukan sahaja menghadkan keanggotaannya kepada anggota dari kumpulan
etnik tertentu tetapi juga bertujuan untuk melindungi dan memperjuangkan
kepentingan kumpulan yang diwakilinya. Dengan wujudnya begitu banyak organisasi
yang berasaskan etnik dan ras, jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh
perasaan perkauman itu di kalangan masyarakat. Kegiatan dan perjuangan
organisasi-organisasi demikian boleh mendorong kepada peningkatan darjah
polarisasi etnik dan ras.
Salah satu punca
berlakunya konflik adalah kepelbagaian budaya yang ketara dan kewujudan usaha
pemeliharaan status quo di kalangan etnik, tetapi tidak diterapkan unsur-unsur
integrasi nasional.
Golongan elit seringkali
memperalatkan perasaan perkauman ini untuk mencapai tujuan politik mereka
dengan menggunakan isu-isu sensitif perkauman. Perasaan perkauman itu dijadikan
mekanisma bagi memperkuatkan persaingan atau perebutan kuasa dalam kalangan
mereka. Golongan elit ini juga seringkali akan menggunakan media massa samada
surat khabar ataupun media elektronik untuk menyebarkan tuntutan atau isu-isu
yang mereka timbulkan itu.
No comments:
Post a Comment